Memorandum Kepada Wakil Rakyat Pakatan Rakyat

GERAKAN MANSUHKAN ISA (GMI)

MEMORANDUM KEPADA

WAKIL RAKYAT PAKATAN RAKYAT

22 JUN 2010

ISA, EO DAN DDA HARUS DIMANSUHKAN BUKAN DIPINDA!

1. 50 TAHUN ISA

Tahun ini genaplah 50 tahun ISA. ISA digubal pada tahun 1960 dengan hujah ia diperlukan untuk menghadapi gerakan Komunis. Ketika penggubalannya, ISA disertakan mekanisme mengelak salah guna termasuk “judicial review”, dan dengan janji ia akan digunakan untuk tujuan menghadapi ancaman bersenjata Komunis sahaja. Gerakan Komunis telah meletakkan senjata, tetapi ISA masih ada. Malah ia telah diperkasa dengan memansuhkan “judicial review” menjadikannya lebih zalim.

ISA sudah menjadi akta pilihan dan jalan mudah menggantikan amalan profesionalisme polis seperti risikan dan penyiasatan yang teliti. Setiap penahanan di bawah ISA adalah kegagalan polis menjalankan tanggungjawabnya memperoleh maklumat untuk diserahkan kepada Pendakwaraya bagi tindakan selanjutnya. Proses keadilan yang terhenti setakat polis dan Kementerian Dalam Negeri adalah suatu kezaliman dan penganiayaan menurut apa jua neraca.

2. ISA HARUS DIMANSUHKAN DENGAN SEGERA!

Memandangkan kritikan yang meluas dalam dan luar negara – penggunaan dan penyalahgunaan ISA telah memburukkan reputasi Malaysia di seluruh dunia – kerajaan akhirnya menjanjikan pindaan terhadap ISA. Namun sesuatu yang ketara ialah kerajaan tidak akan mudah melepaskan tongkat paling berkuasa ini. Mereka sedang cuba bersungguh-sungguh menjual idea “pindaan” dan bukan “mansuh”. Mengambilkira sejarah ISA setakat ini, terdapat asas yang kuat untuk mengesyaki bahawa pindaan berkenaan akan berupa pindaan kecil dan hanya kosmetik. Ia tidak akan melakukan apa-apa untuk mencegah ketidakadilan berterusan dan pencabulan hak asasi manusia.

Kajian ke arah meminda Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) mengambil kira lima isu pokok dan rang undang-undang pindaannya dijangka akan dibahaskan di Dewan Rakyat pada bulan Julai nanti. Lima perkara asas itu: penahanan tanpa bicara, kuasa-kuasa menteri yang terlalu luas, tempoh tahanan, isu persepsi awam ISA digunakan untuk kepentingan politik dan hak dan layanan terhadap orang tahanan. GMI ingin membawa perhatian semua kepada isu-isu yang terlibat dalam lima perkara yang dinyatakan oleh Kerajaan.

a) Hak dan layanan terhadap orang tahanan (Rights and Treatment of ISA Detainees)

GMI dan SUARAM telah mendokumenkan pelbagai jenis penderaan dan penyeksaan yang dilakukan terhadap tahanan ISA. Dalam tempoh 60 hari penahanan, tahanan selalunya tidak diberikan peluang untuk mendapatkan peguam. Malah, ada juga insiden di mana tahanan tidak diberitahu hak mereka semasa ditahan. Mereka diseksa dan didera atas nama penyiasatan. Ini tidak termasuk seksaan mental ke atas tahanan dan keluarga.

b) Penahanan Tanpa Bicara (Detention without Trial)

Penahanan di bawah ISA tidak disokong dengan semakan mahkamah yang efektif. Mahkamah hanya benarkan tahanan untuk mencabar penahanan mereka secara teknikal iaitu habeas corpus. Mereka tidak boleh mencabar penahanan mereka dari aspek tuduhan yang dikenakan ke atas mereka. Penahanan tanpa bicara tidak boleh digunakan ke atas sebarang kesalahan jenayah kerana undang-undang sedia ada di bawah Kanun Keseksaan sudah memadai untuk digunakan ke atas tuduhan-tuduhan yang sering digunakan ke atas tahanan ISA.

c) Tempoh Penahanan (Detention Period)

Tempoh penahanan selama 60 hari adalah satu tempoh yang selalunya digunakan oleh pihak Special Branch untuk mendera dan menyeksa tahanan tanpa sebarang belas kasihan. Penindasan dan penderaan digunakan dalam soal siasat. Seseorang sepatutnya ditahan dengan adanya bukti terhadap mereka dan sekiranya pihak polis gagal untuk menujukkan bukti terhadap maka seseorang itu seharusnya dibebaskan. Tiada seorang pun berhak untuk ditahan selama 60 hari tanpa sebarang perbicaraan ataupun proses mahkamah.

d) Kuasa Menteri (Powers of Minister)

Kuasa menteri untuk menahan tahanan ISA selama 2 tahun dan selanjutnya adalah sesuatu yang memberikan kuasa yang terlalu luas kepada Menteri. Sekaligus ianya dengan jelas menunjukkan bahawa Menteri tidak menghormati proses mahkamah dan kuasa Kehakiman. Ini juga mencemar prinsip pangasingan kuasa di antara Eksekutif dan Kehakiman.

e) Isu persepsi awam ISA digunakan untuk kepentingan politik (Perception of Abuse)

Seperti yang sedia maklum, ISA selalunya digunakan ke atas individu yang tidak menyokong polisi kerajaan, aktivis, parti politik pembangkang dan mana-mana individu yang mengkritik kerajaan.

GMI percaya bahawa sebarang pindaan terhadap kelima-lima perkara di atas tidak akan membawa sebarang makna kerana kelima-lima aspek ini adalah antara yang ”membenarkan” parti pemerintah untuk terus memerintah. Isu persepsi awam terhadap ISA hanya boleh ditangani dengan pemansuhan ISA, tindakan siasatan profesional Polis, kewujudan semakan mahkamah dan pendekatan serta sikap yang lebih prihatin keadilan dan hak asasi manusia tanpa menjejaskan keselamatan negara.

3. PENAHANAN ISA YANG TERBARU DAN TUDUHAN KE ATAS MEREKA

GMI telah melaporkan tentang penangkapan kira-kira 50 orang di bawah ISA pada hari Khamis, 21 Januari 2010 di Sungai Cincin, Gombak semasa mereka menghadiri kuliah agama di sebuah rumah di sana . Rumah tersebut telah dirempuh masuk oleh Unit Tindakan Khas Polis menggunakan kekerasan dan senjata. Kelihatannya, menjalankan kuliah agama boleh ditafsir sebagai mengancam keselamatan negara dan pasukan keselamatan besar mesti dikerahkan.

Daripada 50 orang yang ditahan pada malam tersebut, hanya 12 orang telah ditahan lanjutan manakala bakinya telah dibebaskan sekitar jam 3 pagi 22 Januari 2010. Daripada 12 berkenaan, GMI telah memperolehi 9 nama dan tidak dapat mengenalpasti 3 lagi. Sembilan orang berkenaan ialah:

1. Azzahari bin Murad (warganegara Malaysia)

2. Aiman Al Dakkak (warga Syria), Pelajar PHD USM

3. Mohamed Hozifa (warga Syria)- anak kepada Aiman Al Dakkak

4. Kutiba Al-Issa (warga Syria)- Mahasiswa

5. Khalid Salem (warga Yaman)- Mahasiswa

6. Luqman Abdul Salam (warga Nigeria )- Mahasiswa

7. Hassan Barudi (warga Syria )

8. Hussam Khalid (warga Jordan )

9. Abdul Alhi Bolajoko Uthman (warga Nigeria )

Namun mengikut kerajaan, mereka menahan 10 orang. Sembilan daripada mereka telah dihantar pulang ke negara asal mereka. Daripada maklumat yang kami perolehi tahanan-tahanan dari Nigeria telah dibebaskan di negara mereka tanpa sebarang tindakan undang-undang. Manakala tahanan-tahanan lain, masih tiada sebarang berita tentang mereka sama ada mereka dibebaskan ataupun ditahan oleh pihak polis di negara masing-masing.

Pada awalnya, ke semua tahanan ditahan di atas tuduhan pengganas antarabangsa. Tetapi pada 15 Jun 2010, Ketua Polis Negara dalam satu kenyataan kepada media menyatakan bahawa ke semua tahanan ini terlibat dengan kegiatan Jemaah Islamiyah (JI). Ini selepas 6 bulan penangkapan dan selepas 3 bulan dihantar pulang ke negara asal mereka. Tiba-tiba sekarang timbul isu mengaitkan kesemua tahanan ini dengan Al-Qaeda sedangkan pengakuan daripada rakan tahanan dan mereka yang mengikuti kuliah agama berkenaan menunjukkan tahanan tidak mempunyai kaitan langsung dengan pengganas mahu pun merekrut pelajar-pelajar IPT bagi tujuan keganasan.

Berbagai cerita yang dipetik media bersumberkan risikan polis yang tidak diketahui kesahihannya tetapi dipaparkan kepada masyarakat.

Penukaran label ke atas tahanan bukanlah baru malah ianya pernah berlaku dalam setiap penangkapan di bawah ISA. Penukaran label ini dengan jelas menunjukkan bahawa label dan tuduhan yang dikenakan ke atas tahanan ISA adalah rekaan semata-mata, bukannya melalui penyiasatan yang rapi seperti yang selalu disebut oleh Polis.

Pada masa yang sama, banyak pihak termasuk GMI menimbulkan kecurigaan terhadap pendedahannya sekarang. Adakah ini usaha pre-emptive untuk menjustifikasi penggunaan dan pengekalan ISA?

4. SAMSUDDIN SULAIMAN

Samsuddin bin Sulaiman telah ditahan di bawah ISA sejak 17 April 2002. Pada tahun 2002, beliau dan 100 tahanan yang lain telah dituduh sebagai ahli Jemaah Islamiyyah (JI) yang terlibat dengan aktiviti subversif menentang kerajaan. Walaubagaimana pun daripada tahun 2002 hingga kini, tiada sebarang bukti kukuh dikemukakan untuk menyokong tuduhan tersebut.

Kini, setelah lapan tahun, ke semua 100 tahanan itu telah dibebaskan secara berperingkat tetapi malangnya Samsuddin masih belum dibebaskan. Ini adalah tahun ke lapan beliau di kurung di Kem Kamunting. Malah, baru-baru ini iaitu pada 11 Jun 2010, tempoh penahanan Samsuddin Sulaiman dilanjutkan lagi untuk 2 tahun. Beliau kini merupakan tahanan yang paling lama ditahan di Kamunting dan di bawah ISA.

Beliau merupakan antara tahanan yang telah kehilangan isteri dan anak-anak kerana ISA. Beliau telah dipisahkan daripada isteri dan anak-anak ketika ditangkap pada tahun 2002. Kini penderitaan beliau bertambah lagi apabila beliau terputus hubungan dengan keluarga. Kesihatan beliau khususnya dari segi mental dibimbangi. Perlanjutan tempoh tahanan tanpa sebarang alasan yang rasional menunjukkan bahawa ISA ini adalah keputusan politik dan ianya akan ditentukan oleh Menteri. Satu petisyen tandatangan untuk membebaskan Samsudin Sulaiman sudah dimulakan oleh GMI sempena Muktamar PAS ke-56 di Kelantan baru-baru ini. Kempen ini harus diteruskan.

5. KES DI TAIPING

Perbicaraan kes perhimpunan aman pada tahun 2001 yang diadakan di hadapan Kem Kamunting masih berjalan walaupun seringkali pihak polis gagal untuk membawa sebarang bahan bukti terhadap tahanan ketika sesi mahkamah. Malah, ramai yang sudah mula lupa fakta-fakta insiden. Walaupun pihak mahkamah boleh menggugurkan kes ini kerana tiada bukti yang kukuh, namun kes masih tetap diteruskan. GMI percaya ini adalah satu intimidasi yang berterusan terhadap tahanan dan mesti dihentikan.

Kes ini telah berjalan selama 9 tahun lamanya. 37 orang telah ditahan pada 15 Julai 2001 kerana membantah penahanan enam orang tahanan ISA termasuk isteri tahanan dan AJK GMI, Puan Aliza Jaafar.

6. LAWATAN WORKING GROUP ON ARBITRARY DETENTION

Working Group on Arbitrary Detention dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengadakan satu misi ke Malaysia untuk mendapatkan maklumat umum tentang penahanan arbitari di bawah undang-undang pencegahan dan juga keadaan penjara dan tempat penahanan Imigresen dan yang lain. Dalam lawatan mereka sejak 7 Jun hingga 18 Jun, jawatankuasa tersebut telah mencadangkan beberapa cadangan kepada Kerajaan khususnya berkaitan dengan undang-undang penahanan tanpa bicara. Jawatankuasa tersebut melahirkan kebimbangan yang serius terhadap penggunaan akta-akta seperti ISA, Emergency Ordinance (Pencegahan Jenayah 1969) dan Dangerous Drugs Act (Langkah-langkah Pencegahan Khas 1985) dan Restricted Residence Act (Akta Kediaman Rasmi 1933). Jawatankuasa tersebut menjelaskan bahawa, akta-akta tersebut adalah usang dan ianya harus dimansuhkan kerana ia jelas melanggar undang-undang hak asasi antarabangsa.

Cadangan-cadangan yang diberikan oleh pelbagai pihak dari dalam dan luar negara bukanlah sesuatu yang baru malah ianya sama dan sering dibangkitkan oleh pelbagai pihak.

7. TUNTUTAN DAN REKOMENDASI

Kami dari GMI, SUARAM dan semua pihak dalam gabungan GMI ingin menyatakan secara jelas bahawa ISA dan segala undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa bicara harus dimansuhkan dengan segera. Sebagai wakil rakyat dari Pakatan Rakyat kami amat berharap agar pendirian dan pandangan PR akan sentiasa kekal dengan misi untuk mansuhkan ISA, EO dan DDA. Kami tidak tidak sekali-kali akan tunduk kepada isu prinsip yang melibatkan penahanan tanpa bicara. Akta-akta yang telah mendera, menindas dan menyeksa rakyat tidak harus dikekalkan dan dipuja malah ianya harus dibuang dengan serta merta.

Pada masa yang sama, kami juga ingin mengemukakan beberapa cadangan/ rekomendasi. Antaranya adalah:

1. Kami mahukan kerajaan Malaysia MANSUHKAN undang-undang zalim seperti ISA, EO, DDA dan RRA dengan serta merta. Seruan ini adalah bersamaan dengan seruan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dan badan-badan hak asasi yang lain seperti Amnesty International (AI), Human Rights Watch (HRW), World Organisation against Torture (OMCT), dan ramai lagi.

2. Gunakan undang-undang yang terdapat dalam Kanun Keseksaan untuk tuduhan jenayah seperti berikut

a) Section 489B Penal Code : Pemalsuan duit (counterfeiting money);

b) Section 56 Immigration Act : Pemalsuan pasport (falsifying passports);

c) Section 298A Penal Cod : Menyebarkan isu atau khabar angin yang melibatkan agama (religious hatred);

d) Section 499 Penal Code : Menyebarkan isu yang melibatkan kaum (racial hatred);

e) Section 499 Penal Code : menyebarkan maklumat yang salah (false news); dan

f) Chapter VIA of Penal Code: Yang berkaitan dengan isu pengganas (terrorist offences).

3. Segera Menutup tempat penahanan tanpa bicara seperti Kamunting dan Simpang Renggam

4. Bebaskan atau mendakwa ke semua tahanan yang ditahan tanpa bicara di Mahkamah yang bebas dan terbuka.

5. Setiap tahanan ISA, EO dan DDA harus diberikan pampasan oleh kerajaan Malaysia akibat merampas kebebasan dan hak tahanan yang tidak pernah dibicarakan di mana-mana mahkamah.



Disediakan Oleh,


Nalini.E

Setiausaha GMI

Categories:

0 comments:

Post a Comment